Saturday, December 27, 2008

ASAL SOLAT 5 WAKTU



SUBUH:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.
Rakaat pertama:-
Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua:-
Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.

ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s., iaitu tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.
Rakaat pertama:-
Bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua:-
Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga:-
Bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.
Rakaat keempat:-
Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

ASAR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:
Rakaat pertama:-
Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua:-
Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga:-
Kelam dengan malam.
Rakaat keempat:-
Kelam dengan perut ikan Nun.

MAGHRIB:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan ke*****an kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:
Rakaat pertama:-
Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua:-
Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga:-
Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.

ISYAK:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
Rakaat pertama:-
Dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua:-
Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga:-
Dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat:-
Dukacita terhadap anak Firaun


petikan daripada kitab MUNYATUL MUSOLLI karangan Syeikh Daud al Fatani R.A

Friday, December 5, 2008

SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA


Alhamdulillah kita semua masih dipanjangkan usia untuk sama-sama
memperingati hari yang merupakan hari kebesaran dalam takwim Islam.
Dalam tempoh beberapa hari lagi kita akan sama-sama menyambut Aidil
Adha. Hari Raya Korban yang menjadi simbol dan lambang pengorbanan
dalam kehidupan kita seharian.

Saya ingin mengajak diri saya dan sahabat semua untuk kita
mengimbas kembali pengorbanan insan mulia di sisi Allah SWT, iaitu
Nabi Allah Ibrahim menjadi simbol pengorbanan agung di hati umat
Islam. Betapa Ibrahim begitu mendambakan seorang anak sehingga
baginda tidak putus-putus berdoa kepada Allah. Sehinggalah di akhir
usianya ketika baginda berumur 83 tahun, barulah doanya
diperkenankan oleh Allah. Dikurniakan Ismail sebagai permata hati
dan pengubat sepi. Namun mendapat gelaran seorang ayah,ujian
terhadap baginda bukan berakhir di situ.

Seorang ayah yang soleh, sudah pasti memberikan kasih sayang yang
terbaik untuk anaknya. Begitulah juga Ibrahim, menumpahkan
sepenuhnya rasa cinta kepada Ismail. Lantaran rasa kecintaan itu,
Allah SWT telah menguji Ibrahim untuk mengobankan Ismail darah
dagingnya sendiri. Itulah pengorbanan teragung yang perlu kita
sebagai umat Islam selami.

Hakikat pengobanan begitu luas untuk ditafsirkan. Lebih-lebih lagi
pengorbanan kita terhadap agama. Apakah yang telah kita korbankan?
Ramai di antara kita berkorban untuk keluarga, berkorban untuk
suami isteri, berkorban untuk organisasi, tetapi jarang kita
mendengar di usia dunia sekarang ini kita berkorban untuk agama.
Mudah-Mudahan kehadiran Aidil Adha tahun ini membakar kembali
semangat pengorbanan kita untuk menilai usia dan diri kita, apakah
intipati yang kita berikan kepada agama kita. SELAMAT MENYAMBUT
AIDIL ADHA 2008.