Sunday, May 31, 2009

ADAB DENGAN ALLAH....


Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Pentadbir sekelian alam...Selawat dan salam buat rasul tercinta, Saidina Muhammad, para ahli baginda serta para sahabat baginda...

Bermulanya kaki kita melangkah ke alam persekolahan, kita telah diperkenalkan dengan ilmu adab di dalam matapelajaran pendidikan islam. Di dalamnya kita diajar tentang pelbagai adab di dalam kehidupan harian dan adab terhadap sesama manusia. Namun kita tidak pernah didedahkan dengan adab kepada Allah, Tuhan yang telah mewujudkan kita di dunia ini. Mungkin kerana kesilapan ini, hari ini kita dapat melihat remaja-remaja islam kita terlalu ramai melupakan Pencipta mereka. Dan yang paling menyedihkan lagi ada yang sanggup mensyirikkan dan mengkufurkan Allah. Kesan yang amat besar akan timbul sekiranya kita gagal menjaga adab-adab kita kepada Allah Taala.

Apakah adab-adab kepada Allah Taala dan bagaimana caranya kita hendak beradab kepadaNya?

Di dalam ilmu tasauf, adab-adab kepada Allah dinyatakan seperti berikut:

1. Sentiasa mengingati janji kita kepada allah ketika kita berada di alam ruh dahulu, iaitu ketika Allah bertanya kepada ruh-ruh manusia," bukankah Aku Tuhan kamu semua?" Maka ruh menjawab " Ya." Janji ini perlu kita tepati sama ada dengan perbuatan, perkataan dan iktiqad kita.

2. Menjunjung dan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah Taala sama ada yang wajib atau sunat.

3. Meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah Taala sama ada yang haram atau yang makruh.

4. Tidak mengkritik atau mempersoalkan perbuatan Allah Taala ke atas kita.

5. Redho dengan sesuatu yang sedikit yang Allah berikan kepada kita.

6. Berserah diri kepada Allah pada rezeki yang telah dijanjikan oleh Allah.

7. Memelihara adab terhadap manusia-manusia pilihan Allah seperti para Nabi dan Rasul, para wali Allah dan para ulamak.

Telah berkata para ulama, sesiapa yang melazimi memelihara adab-adab kepada Allah Taala, dia akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

wallahu a'lam....