Thursday, July 2, 2009

TARIK KEJAYAAN DENGAN 5 S


Assalamualaikum...
Segala puji-pujian hanya layak bagi Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...Selawat dan salam khusus untuk nabi rahmat seluruh alam, Saidina Muhammad, para ahli-ahli baginda serta para sahabat, tabiin, tabi' tabiin dan para waris anbiyak...
Bulan lepas saya telah berpeluang mengikuti satu program 'Pemantapan Srikandi Islam' anjuran Unit Silat Maktab Mahmud Puteri yang diadakan di Kem D'tepus, Wang Tepus, Kedah. Saya menghadiri program tersebut kerana menemani isteri saya yang bertanggungjawab sebagai guru penasihat. Di dalam program tersebut, saya tertarik dengan satu ceramah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Zaki Haji Zainol, yang bertajuk 'Kekuatan dalaman dan kekuatan luaran'. Di sini saya akan berkongsi antara isi yang telah disampaikan oleh beliau yang menarik hati saya.

Beliau telah berpesan, ada 5 S yang mampu menarik kejayaan dan kekuatan di dalam kehidupan kita. 5 S tersebut bukan sahaja mampu memberikan kejayaan di dalam hidup kita di dunia bahkan kejayaan di akhirat yang kekal abadi. Apakah 5 S tersebut?

S yang pertama ialah Solat.
S yang kedua ialah Selawat ke atas Nabi s.a.w.
S yang ketiga ialah Sedekah.
S yang keempat ialah sangkaan yang baik kepada Allah.
S yang kelima ialah senyum.

Semoga kita dapat menjadikan 5 S ini sebagai amalan yang berterusan di dalam kehidupan kita agar kejayaan-kejayaan yang kita impikan dapat ditarik ke dalam hidup kita. Kejayaan yang terbaik dan kekal adalah kejayaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang dikasihi. Moga kita tergolong di dalam golongan tersebut, Amin...

Sunday, May 31, 2009

ADAB DENGAN ALLAH....


Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Pentadbir sekelian alam...Selawat dan salam buat rasul tercinta, Saidina Muhammad, para ahli baginda serta para sahabat baginda...

Bermulanya kaki kita melangkah ke alam persekolahan, kita telah diperkenalkan dengan ilmu adab di dalam matapelajaran pendidikan islam. Di dalamnya kita diajar tentang pelbagai adab di dalam kehidupan harian dan adab terhadap sesama manusia. Namun kita tidak pernah didedahkan dengan adab kepada Allah, Tuhan yang telah mewujudkan kita di dunia ini. Mungkin kerana kesilapan ini, hari ini kita dapat melihat remaja-remaja islam kita terlalu ramai melupakan Pencipta mereka. Dan yang paling menyedihkan lagi ada yang sanggup mensyirikkan dan mengkufurkan Allah. Kesan yang amat besar akan timbul sekiranya kita gagal menjaga adab-adab kita kepada Allah Taala.

Apakah adab-adab kepada Allah Taala dan bagaimana caranya kita hendak beradab kepadaNya?

Di dalam ilmu tasauf, adab-adab kepada Allah dinyatakan seperti berikut:

1. Sentiasa mengingati janji kita kepada allah ketika kita berada di alam ruh dahulu, iaitu ketika Allah bertanya kepada ruh-ruh manusia," bukankah Aku Tuhan kamu semua?" Maka ruh menjawab " Ya." Janji ini perlu kita tepati sama ada dengan perbuatan, perkataan dan iktiqad kita.

2. Menjunjung dan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah Taala sama ada yang wajib atau sunat.

3. Meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah Taala sama ada yang haram atau yang makruh.

4. Tidak mengkritik atau mempersoalkan perbuatan Allah Taala ke atas kita.

5. Redho dengan sesuatu yang sedikit yang Allah berikan kepada kita.

6. Berserah diri kepada Allah pada rezeki yang telah dijanjikan oleh Allah.

7. Memelihara adab terhadap manusia-manusia pilihan Allah seperti para Nabi dan Rasul, para wali Allah dan para ulamak.

Telah berkata para ulama, sesiapa yang melazimi memelihara adab-adab kepada Allah Taala, dia akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

wallahu a'lam....

Sunday, March 15, 2009

HUKUM TARIKAN ( LOA ) DARI AL-QURAN


Assalamualaikum....

Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah. Selawat dan salam buat Saidina Rsulallah, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda.

Suatu petang saya berjalan-jalan di Souq al Bukhari, Alor Star. Saya berlegar-legar di ruang legar tingkat bawah. Di situ terdapat pelbagai barang yang dijual. sudah menjadi tabiat saya kalau saya datang ke souq ini, saya akan pergi ke gerai buku yang terdapat di ruang legar bawah tersebut. Saya memang suka tengok buku-buku terkini yang dijual di kedai buku itu. Sedang asyik membelek-belek buku-buku kat situ, saya terpandang satu buku yang bertajuk ' Quranic Law Of Attraction' keluaran syarikat PTS. Bila lihat saja buku tersebut, hati saya menjadi tertarik untuk mengetahui isi dalamnya. Bagi saya inilah buku pertama orang membahaskan hukum tarikan ( Law Of Attraction ) yang bersumberkan kitab Allah. Bagi sesetengah orang mungkin istilah hukum tarikan (LOA) ini agak baru baginya. Tetapi sebenarnya hari ini, istilah hukum tarikan ini sering diperkatakan terutamanya di dalam program motivasi yang melibatkan perniagaan.
Kebanyakan orang di dalam membahaskan LOA ini hanya merujuk kepada buku-buku karangan orang barat seperti buku 'The Secret' karangan Rhonda Byrne dan 'The Law Of Attraction' karangan Michel J. Losier. Jarang sekali orang menggali hukum tarikan ini daripada al-quran yang merupakan pedoman dan pertunjuk Allah untuk kita. Saya ucapkan tahniah dan syabaslah kepada saudara Rusdin S. Rauf dan syarikat PTS kerana berjaya membawa hukum tarikan yang bersumberkan Al-Quran yang mulia ini.
Saya cadangkan bagi anda yang inginkan kejayaan dan kebahagiaan di dalam kehidupan, dapatkanlah buku tersebut dan jadikanlah ia sebagai panduan kita dalam menarik lebih banyak kejayaan yang telah Allah Taala sediakan kepada kita.

Semoga berjaya!

Sunday, January 25, 2009

LAPAN PENDEKATAN SPIRITUAL BAGI MEMBINA KERJA YANG BERKUALITI DAN CEMERLANG


1. Kerja adalah rahmat; aku bekerja dengan jujur dan penuh kesyukuran.
2. Kerja adalah amanah; aku bekerja dengan penuh tanggungjawab.
3. Kerja adalah panggilan; aku bekerja dengan penuh integriti.
4. Kerja adalah aktualisasi; aku bekerja dengan penuh semangat.
5. Kerja adalah ibadah; aku bekerja dengan penuh rasa cinta yang mendalam
6. Kerja adalah seni; aku kreatif dan bekerja dengan penuh gembira.
7. Kerja adalah kehormatan; aku bekerja dengan tekun dan melakukan yang terbaik.
8. Kerja adalah perkhidmatan; aku bekerja dengan sempurna rendah hati.

Friday, January 16, 2009

DARJAH KECERDASAN SPIRITUAL


Darjah Kecerdasan Spiritual ialah kebolehan mengawasi diri sendiri dari segi tindakan-tindakan yang dilakukan dan keputusan-keputusan yang dibuat berlandaskan prinsip-prinsip keagamaan dan ketaatan kepada Allah SWT. Apabila anda mengetahui bagaimana caranya untuk meningkatkan Darjah Kecerdasan Spiritual ini, dengan cara tidak langsung anda boleh melemahkan tenaga hawa nafsu yang tercela dan meningkatkan tenaga nafsu terpuji. Islam menyarankan pelbagai cara yang boleh dihayati untuk meningkatkan Kecerdasan Spiritual dalam kehidupan, antaranya :

  1. Menerima Islam itu sebagai ‘ DIN’ iaitu suatu cara hidup yang berlandaskan ketaatan kepada Allah dan patuh kepada undang-undang dan aturan yang diturunkan oleh Allah Taala melalui al-Quran dan juga apa yang telah disampaikan oleh Rasulallah s.a.w melalui hadis.
  2. Tingkatkan keimanan kepada Allah SWT. Iman merupakan suatu kekuatan yang boleh menolak segala godaan hawa nafsu daripada melakukan segala perkara yang tercela dan yang bertentangan dengn akidah.
  3. Tingkatkan akhlak yang baik melalui rasa cinta dan kasih sayang terhadap segala makhluk yang dijadikan Allah SWT.
  4. Menjaga sumber makanan dan pendapatan daripada benda- benda yang haram dan bertentangan dengan ajaran dan peraturan yang telah ditetapkan dalam Islam.
  5. Banyakkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah kerana Allah Taala suka kepada orang yang sentiasa bertaubat.
  6. Tingkatkanlah kualiti amalan fardhu dan perbanyakkan melakukan amalan sunat seperti berzikir, berselawat, membaca al-Quran dan berdoa.

Sunday, January 11, 2009

ISTIGHFAR MENYIHATKAN DAN MENGUATKAN


Salah satu kesan positif yang timbul kerana melazimi istighfar ialah Allah akan mengurniakan kesihatan dan penyembuhan kepada seseorang. Selain itu, Allah juga akan menambahkan kekuatan kepadanya. Sepertimana firman Allah Taala di dalam surah Hud, ayat 52 yang bermaksud, "Hai kaumku, mohonlah keampunan kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada Nya, Dia yang menurunkan hujan yang sangat lebat ke atas kamu dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatan kamu danjanganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa."
Firman Allah yang bermaksud, " dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatan kamu," merupakan dalil bahawa istighfar boleh menambahkan kekuatan dan penyembuhan.

Telah di riwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w :

Ertinya:
“Sesiapa yang melazimkan istighfar, Allah menjadikan baginya dari setiap kesempitan kejayaan, dari setiap kesusahan jalan keluar dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”

Thursday, January 1, 2009

AMALAN UNTUK KECERDASAN SPIRITUAL....


Kecerdasan spiritual merupakan kecerdasan yang paling penting bagi individu yang inginkan kecemerlangan dalam hidupnya di dunia dan akhirat. Bagi mengaktifkan kecerdasan ini, di bawah ini diperturunkan beberapan amalan yang dapat meningkatkan kecerdasan spirirual tersebut dengan izin Allah yang maha kuasa.

Amalan selepas solat subuh dan asar:

1. Istighfar sebanyak 20 kali
2. La ilaha illallah sebanyak 20 kali
3.Selawat sebanyak 20 kali
4. Bismillahillazi la yadhurru maasmihi syaiun fil ardhi wala fissamai wahuwassami'ul a'lim sebanyak 3 kali.

Amalan selepas solat zuhur, maghrib dan isyak :

1. Istighfar sebanyak 20 kali
2. La ilaha illallah sebanyak 20 kali
3.Selawat sebanyak 20 kali

Moga-moga dengan mengamalkan amalan-amalan ini secara istiqamah, Allah Taala akan meningkatkan kecerdasan spiritual kita dengan rahmat dan limpah kurniaNya.